PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan serta-merta dengan memperketatkan proses semakan iklan susulan susulan kontroversi melibatkan visual iklan produk penjagaan diri pada salah satu trennya.
Prasarana berkata, pihaknya mengambil iktibar dan melakukan tindakan segera supaya tidak akan menimbulkan isu sensitif kepada orang ramai.
Menurutnya, kandungan visual iklan mencetuskan kontroversi itu hanya untuk mempromosikan produk penjagaan diri dan menggambarkan pelbagai situasi harian melibatkan rakyat dari pelbagai latar belakang yang menggunakan pengangkutan awam.
“Ianya bertujuan untuk memaparkan kepentingan penggunaan produk penjagaan diri dan tidak menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu.
“Visual iklan tersebut telah melalui proses yang sewajarnya, termasuk semakan oleh pihak dalaman dan luaran, merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial, sebelum visual tersebut dicetak dan dipaparkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran mempersoalkan elemen visual iklan berkenaan yang dianggap menyentuh sensitiviti komuniti tertentu sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.
Prasarana berkata, iklan produk penjagaan diri itu sudah dikeluarkan daripada tren perkhidmatan laluan Ampang/Sri Petaling selepas menerima maklum balas daripada pengguna.
“Sebagai pengendali pengangkutan awam yang bertanggungjawab, Prasarana menghargai maklum balas dan pandangan masyarakat terutamanya apabila ia boleh disalah tafsir sebagai suatu bentuk sasaran kepada kepada individu atau komuniti tertentu.
“Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan keprihatinan orang ramai yang berterusan terhadap penggunaan pengangkutan awam,” katanya. – UTUSAN