Kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu untuk dapat projek baik pulih jalan ladang

Kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu untuk dapat projek baik pulih jalan ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Tangkak, tiga tahun lalu.

 

Tertuduh, Mohd. Safri Ibrahim, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

 

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Safri didakwa menyerahkan penyata bank bagi tempoh Disember 2021 hingga Februari 2022 atas nama syarikatnya sebagai dorongan untuk memperoleh projek baik pulih jalan ladang di Jalan Parit Timin, Kampung Paya Kepong, Tangkak. Dokumen berkenaan mengandungi butiran palsu dan diserahkan antara 7 Mac hingga 13 Mei 2022.

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir palsu atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

 

Selain itu, beliau turut menghadapi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan dokumen tulen secara salah. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin, manakala tertuduh diwakili peguam B. Puvarasan. Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN