‘Konsert GenKRU di Singapura adalah ‘finale’ buat kami’ - Utusan Malaysia

‘Konsert GenKRU di Singapura adalah ‘finale’ buat kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setelah sembilan tahun tidak menghiburkan peminat di Singapura, kumpulan ikonik, KRU mengumumkan bakal membuat Konsert GenKRU di The Star Theatre, di sana pada 28 Jun depan.

Menurut Edry Abdul Halim, meskipun teruja untuk mengubat kerinduan peminat di sana, konsert anjuran Icon Entertainment di Singapura itu berkemungkinan adalah konsert terakhir buat KRU.

“Selepas sembilan tahun tidak buat persembahan di Singapura, kami teruja tampil dalam konsert ini. Saya juga baru balik dari menjayakan program televisyen di Singapura, memang saya merasakan sambutan positif daripada peminat. Kami tidak sabar mahu bertemu keluarga KRU di sana.

“Tetapi mungkin konsert di Singapura ini adalah konsert terakhir kami untuk fasa GenKRU selepas tiga hari konsert di Kuala Lumpur.

“Kami tidak mahu terlalu sentimental, namun kami juga tidak tahu bagaimana pada masa depan. Buat masa ini, kami nampak konsert ini sebagai ‘finale’ buat kami selepas mengeluarkan album dan kaset,” katanya.

Edry berkata demikian dalam sesi sidang media secara virtual bersama media yang turut disertai oleh Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Yusry Abdul Halim, semalam.

Tambah Norman, sekiranya mereka bakal mengadakan konsert lagi di masa hadapan konsepnya juga akan berbeza memandangkan perubahan faktor usia.

“Jika ada konsert dalam tiga atau lima tahun lagi, mungkin konsert itu akan menjadi konsep berbeza dan boleh dikatakan berikutan faktor usia. Jadi, boleh lihat tenaga persembahan kami berbeza sejak era 1990-an dan seterusnya.

“Jadi, kalau nak lihat KRU pada era 1990-an, boleh datang ke konsert ini dan mungkin kali terakhir anda lihat KRU membuat persembahan dengan konsep ini. Tahun depan, memang sah tiada, namun tak pasti jika masa depan,” jelasnya.

Hanya mampu memuatkan seramai 5,000 penonton, Yusry berkata, konsert yang bakal berlangsung di Kota Singa itu bakal menjadi lebih ‘intimate’ selain mahu ia menjadi momen bermakna buat peminat KRU.

“Orang selalu nampak kami bekerja di belakang tabir dan buat konsert sendiri sepanjang dalam industri. Ini adalah kali pertama kami menggunakan khidmat Icon Entertainment untuk menguruskan konsert kami.

“Jadi, kali ini KRU dapat fokus kepada persembahan sahaja. Istimewanya, konsep ini lebih dekat dengan peminat. Kami mahu peminat rasa muda kembali, lupakan masalah dan berseronok,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang telah menetapkan kod pakaian bertemakan era 1990-an dan memaklumkan tiket konsert tersebut akan mula dijual pada 14 April ini.

Dalam perkembangan lain, KRU juga bakal menghiburkan peminat tanah air menerusi Konsert GenKRU di Axiata Arena yang bakal berlangsung pada 3, 4 dan 10 Mei depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN