Komited Kod Tatalaku Laut China Selatan, bukti pendekatan aman

Komited rangka Kod Tatalaku Laut China Selatan, bukti pendekatan aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komitmen China untuk merumuskan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dalam tempoh terdekat mencerminkan pendekatan negara itu terhadap penyelesaian konflik secara aman.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, COC bukanlah sebuah perjanjian undang-undang yang mengikat, tetapi lebih kepada satu konsensus bersama berdasarkan kerelaan politik semua pihak yang terlibat.

Walaupun hasilnya belum pasti, jelasnya, komitmen China sebelum ini telah mencerminkan perubahan nada dalam pendekatan mereka terhadap penyelesaian konflik secara aman.

“Memang diakui proses perundingan COC agak perlahan, dan ini telah mencetuskan pelbagai tafsiran. Sesetengah pihak mendakwa China mungkin sengaja melengahkan proses tersebut untuk memberi masa kepada strategi geopolitik mereka.

“Namun begitu, Malaysia dan negara ASEAN lain perlu faham kita tidak boleh memaksa secara berlebihan. COC bukanlah sebuah perjanjian undang-undang yang mengikat, tetapi lebih kepada satu consensus bersama berdasarkan kerelaan politik semua pihak yang terlibat. Maka, sifat sukarela dan konsensus ini menuntut kesabaran serta diplomasi bijaksana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas mempertahankan kebebasan Laut China Selatan mengikut UNCLOS 1982 dan Malaysia tidak berganjak daripada tuntutan dan pendirian tentang kawasan milik negara di perairan itu.

Mengulas lanjut, Salawati berkata, kenyataan Menteri Luar China baru-baru ini mengenai Beijing tidak mahu ‘membuang masa’ dan komited untuk ‘duduk berbincang’ perlu dilihat sebagai petanda positif.

“Malaysia menyambut baik pendirian ini dan menganggapnya sebagai satu bentuk persetujuan baharu yang lebih serius dari China dalam mencari penyelesaian Bersama yang damai.

“Namun begitu, soal berapa lama masa yang diambil untuk merumuskan COC adalah sangat subjektif, kerana ia bergantung kepada kesediaan dan kehendak politik semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Undang-Undang Laut Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mohd.Hazmi Mohd. Rusli berkata, negara perlu berani menyatakan pendirian secara tegas untuk mempertahankan hak dan kepentingan negara walaupun dasar luar Malaysia berteraskan diplomasi.

Beliau menjelaskan penegasan pendirian tidak bermakna negara perlu bersikap agresif atau bermusuh, namun, pendekatan tegas tetapi rasional ini penting supaya Malaysia tidak dilihat lemah dalam menjaga kedaulatan.

“Hak maritim, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan landasan benua negara, adalah aset strategik dan ekonomi yang perlu dipertahankan. Kehadiran kuasa asing di Kawasan tuntutan bertindih bukan sahaja menggugat kedaulatan, tetapi juga berisiko menjejaskan operasi ekonomi seperti perikanan dan industri minyak dan gas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN