PETALING JAYA: Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang mengalami gangguan kembali beroperasi seperti biasa bermula pukul 4 petang tadi.
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan berkata, perkembangan terkini itu dimaklumkan menerusi semua platform sosial media syarikat berkenaan.
“ERL telah melaksanakan langkah-langkah segera untuk memudahkan pengguna kami serta terus mempertingkat langkah keselamatan di kawasan yang terjejas susulan insiden kecurian kabel dan gangguan sistem isyarat yang menjejaskan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit baru-baru ini,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, ERL berkata, pihaknya telah memulakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma untuk membantu pengguna dalam tempoh terdekat antara Stesen Salak Tinggi dan Stesen Putrajaya dan Cyberjaya.
Menurutnya, petugas tambahan turut ditempatkan di kawasan terbabit selain kekerapan rondaan ditingkatkan dan pemantauan diperhebat di sekitar infrastruktur penting.
“Kami sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan tren sepenuhnya secepat mungkin. Kami akan terus mengemas kini perkembangan usaha pemulihan menerusi saluran rasmi kami,” menurut ERL. UTUSAN