PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang merintis projek tenaga boleh diperbaharui melalui Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) terpilih dalam kemudahan penjagaan kesihatan di Lembah Klang.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, projek rintis itu penting bagi menyokong integrasi bidang kesihatan dan dasar alam sekitar dalam usaha mengiktiraf kemampanan sebagai asas tonggak kesihatan awam di negara ini.
“Sistem kesihatan yang mampan juga memerlukan inovasi berterusan dan pembiayaan pintar.
“Projek rintis itu melibatkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan, Penyelidikan dan Inovasi (BRAIN) dan mempromosikan alternatif terbiodegradasi yang menyokong ekonomi sekeliling.
“Inisiatif ini bukan tindakan kendiri tetapi pelaburan jangka panjang dalam daya tahan iklim, kecekapan sumber dan operasi penjagaan kesihatan yang mampan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Hijau 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, bidang kesihatan akan menjadi lebih kritikal dan kementerian mesti melampaui pematuhan dan melebihi minimum piawaian ditetapkan.
Katanya, KKM perlu memimpin dengan keyakinan bermula dengan kaedah mereka bentuk bangunan kepada cara beroperasi secara sistem yang kritikal.
Jelasnya lagi, ia turut melibatkan pendekatan melatih pasukan teknikal kepada cara melibatkan diri bersama komuniti dalam kesihatan. – UTUSAN