Khuatir nasib Kampung Melayu Majidee seperti Kampung Baru

Khuatir nasib Kampung Melayu Majidee seperti Kampung Baru

Kampung Melayu Majidee yang terletak di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50,000 pemilik tanah dan penduduk Kampung Melayu Majidee di sini, dalam dilema setelah permohonan penukaran status Tanah Rizab Melayu (TRM) pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal masih tergantung.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md. Shariff berkata, ini kerana pajakan tanah itu dijangka berakhir 28 tahun lagi iaitu pada 2053.

Katanya, sebelum ini beberapa usaha telah dibuat untuk mengemukakan permohonan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi menukar status tanah Kampung Melayu Majidee, namun tetap gagal.

“Pada 8 September lalu, kita telah menyerahkan permohonan status tanah secara bertulis lengkap berserta petisyen dan dokumen terkait secara rasmi kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar.

“Setakat ini, Menteri Besar belum memberi maklum balas, begitu juga surat permohonan temu janji yang dihantar pada 27 Januari lalu pun belum mendapat jawapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat dan Ramah Mesra Aidilfitri Perkam di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Kampung Melayu Majidee mempunyai keluasan 730 hektar dan merupakan kawasan penempatan orang Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, kampung itu menempatkan kira-kira 1,400 lot perumahan yang hampir keseluruhan statusnya sebagai Tanah Rizab Melayu Pajakan Negeri 99 tahun.

“Kampung Melayu Majidee terletak di kawasan yang terlalu strategik. Dengan status TRM, kampung ini boleh menjadi benteng bagi memastikan kelangsungan orang Melayu untuk terus tinggal di kawasan bandar raya ini.

“Penukaran status tanah kampung ini kepada TRM hak milik kekal akan menguatkan lagi kekebalan benteng itu. Penduduk khuatir masa depan mereka, sama ada kampung berkenaan akan dibangunkan secara komersial apabila pajakan 99 tamat,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini pihaknya mendapati hanya 12 lot tanah di kampung itu mempunyai status tanah hak milik kekal.

Katanya, walaupun tanah-tanah tersebut mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi hakikatnya ia terletak di Kampung Melayu Majidee.

“Oleh itu, kami berpandangan, adalah tidak sukar untuk pihak kerajaan membuat dasar untuk meluluskan permohonan kami, selain tidak merancang untuk membangunkan kawasan Kampung Melayu Majidee dengan kaedah memindahkan penduduk kampung keluar ke tempat lain.

“Kami tidak mahu menimpa nasib sama seperti penduduk di Kampung Baru yang terpaksa turun naik mahkamah bagi pertahankan hak mereka. Jangan jadikan isu ini sebagai senjata ketika pilihan raya sahaja, sebaliknya betul-betul membela nasib kami,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya