KLANG: Kadar pengisian katil (BOR) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, mencecah 100 peratus sehingga menyebabkan kesesakan pada pasca musim perayaan sejak minggu lalu.
Pengarahnya, Dr. S. Selvamalar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu tular di media sosial berkaitan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital itu.
Jelas beliau, jumlah bilangan pesakit yang menunggu untuk kemasukan wad meningkat dengan purata harian mencecah 120 pesakit sejak seminggu kebelakangan ini.
“Dengan kemasukan harian ke wad yang tinggi iaitu 130 hingga 150 pesakit, ia menyumbang kepada BOR yang hampir mencecah 100 peratus.
“Walaupun berdepan lonjakan itu, HTAR mengekalkan kadar discaj lebih 100 pesakit sehari bagi mengurangkan jumlah pesakit menunggu katil. Tren purata masa kemasukan ke wad kini mula menurun,” katanya hari ini.
Menurut Selvamalar, beberapa langkah proaktif telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kesesakan dan mempercepatkan proses penempatan pesakit ke wad.
“Ia antara menyediakan ruang khas bagi pesakit yang stabil dan menunggu urusan untuk discaj selain meletakkan katil tambahan di zon kecemasan.
“Kakitangan dalaman HTAR juga dimobilisasi bagi memastikan kelancaran operasi terutama ketika waktu puncak kehadiran pesakit,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya berjaya menyelesaikan discaj 62 pesakit dan menguruskan 78 pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan sehingga pukul 10 pagi tadi.
“HTAR memberi jaminan bahawa setiap pesakit akan diberikan rawatan sewajarnya oleh pasukan perubatan bertugas walaupun mereka masih menunggu sebelum penempatan ke wad.
“Kami turut memohon keprihatinan pelanggan menggunakan kemudahan rawatan di fasiliti lain seperti Klinik Kesihatan bagi kes selain kecemasan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad memaklumkan kementeriannya mengambil langkah segera bagi mengatasi isu kesesakan itu yang berpunca daripada lonjakan kedatangan pesakit susulan pasca Aidilfitri.
Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial berhubung lambakan pesakit di Jabatan Kecemasan HTAR yang tidak dapat ditempatkan di wad meskipun sudah tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan. – UTUSAN