PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mempunyai senarai individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, senarai itu turut meliputi pegawai-pegawai kerajaan yang telah pencen.
Beliau berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan dengan teliti bukan sahaja melihat kepada isu tatakelola, tetapi melihat bagaimana pihak-pihak berkenaan boleh ‘terlepas’ dalam meneroka tanah.
Ini kerana, menurut beliau, SPRM telah pun melakukan siasatan berkaitan pada tahun 2021 dan hampir selesai dan mungkin telah selesai di pihak pejabat tanah.
“Tetapi bagi kes yang baru ini, kita lihat bagaimana penerokaan yang baru berlaku. Separuh daripada peneroka mengatakan mereka mula meneroka sejak tahun 1974.
“Kalau tahun 1974 pokoknya mungkin sudah berusia 40 tahun ke 50 tahun. Tetapi kita dapati ada pokok yang berusia dalam lapan tahun atau sembilan tahun. Jadi ini penerokaan lain, oleh itu kerajaan negeri telah mengambil kira semua ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment di sini hari ini.
Azam bagaimanapun mengesahkan belum ada lagi tangkapan dibuat dan pihak-pihak yang bertanggunjawab ketika berlaku kes penerokaan tersebut akan dipanggil.
Katanya, adalah menjadi cabaran kepada pegawai-pegawai penyiasatnya untuk mengesan semula dan menyemak latar belakang siapa pegawai yang terlibat ketika itu seperti Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Raub.
“Jadi ambil masa sedikit lah (siasatan) dan terutama sekali kepada mereka yang meneroka (turut akan dipanggil) untuk mengetahui bagaimana mereka boleh meneroka.
“Jadi keadilan dalam penyiasatan ini adalah penting,” katanya.
Sebelum ini, tular insiden kekecohan semasa operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan di Sungai Klau, Raub, pada 8 April lalu yang melibatkan tanaman durian, kelapa sawit dan hasil bumi lain.
Susulan itu, Sultan Pahang menzahirkan ketegasan bahawa aktiviti pencerobohan tersebut merupakan satu bentuk ‘rompakan terbuka’ terhadap harta kerajaan dan perlu dihentikan serta-merta. – UTUSAN