PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), selaras dengan semangat pembaharuan institusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat sementara kerajaan akan mempertahankan kesahan Perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) selepas ia difailkan di Mahkamah Tinggi oleh pihak tertentu untuk permohonan semakan akta itu.
Anwar berkata, kajian semula SPK itu bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO), dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.
“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, seorang peguam mencabar kesahihan Perlembagaan SPK serta kuasanya dalam melantik hakim, dengan mendakwa bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 adalah tidak berperlembagaan.
Beliau berpendapat bahawa akta tersebut melanggar doktrin pengasingan kuasa dan doktrin struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
Peguam tersebut, Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim, sedang memohon satu perisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kuasa yang diberikan kepada SPK di bawah Akta 2009 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 122B yang memperincikan proses pelantikan hakim-hakim ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, menurut Anwar, kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.
Katanya, ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.
“Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali.
“Pada masa sama, saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan NGO,” katanya.
Anwar menjelaskan, persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan.
Justeru, katanya, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini. – UTUSAN