SUBANG JAYA: Kerajaan Negeri Selangor kini sedang mengadakan perbincangan bersama Petronas bagi merangka langkah segera bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan gas susulan kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, perbincangan itu melibatkan penyelesaian jangka pendek termasuk cadangan penghantaran gas menggunakan lori tangki bagi menampung keperluan harian.
Beliau berkata, kira-kira 8,000 unit kediaman dan premis komersial terkesan akibat gangguan bekalan gas, termasuk lebih 300 buah kilang yang bergantung kepada bekalan tersebut.
“Antara keperluan utama yang dikenal pasti ialah bagi empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang iaitu Jambatan Connaught, Pulau Indah, Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) di Kapar dan Putrajaya, yang secara keseluruhannya memerlukan 200 juta kaki padu gas setiap hari.
“Baki 130 juta kaki padu gas lagi diperlukan untuk kegunaan kediaman dan komersial.
“Dua daripada stesen janakuasa itu boleh bertukar kepada arang batu dan minyak, manakala dua lagi tidak dan diletakkan dalam mod ‘standby’,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Selasa lalu, insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – UTUSAN