PUTRAJAYA: Kerajaan digesa mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu pencemaran di kebanyakan sungai di negara ini yang masih berdepan masalah kotor dan tercemar.
Langkah drastik perlu dilakukan untuk membanteras di peringkat sumber seperti efluen kilang, domestik dan pertanian yang menjadi punca kepada pencemaran itu sehingga menjejaskan ekonomi penduduk tempatan termasuk nelayan pantai dan kesihatan awam.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melaporkan, sebanyak 5,589 kilang tanpa kebenaran dikesan beroperasi di seluruh negeri itu dengan 869 daripadanya berada di sekitar sungai, dan sebahagian besarnya terletak di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Ahmad Ismail berkata, walaupun peraturan dan panduan kualiti air dan udara sudah ada, ia seolah-olah hanya di atas kertas dan perlu ada pemantauan berkala di kawasan sensitif dan tindakan pemulihan.
Katanya, penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) perlu dimanfaatkan sepenuhnya yang diberi peranan memastikan langkah dan tindakan pengurusan pelaksanaan strategik meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu.
“Pengalaman Sungai Kim Kim telah memberikan kesedaran semula tentang kualiti air dan udara bahawa peraturan dan undang-undang perlu ditambah baik.
“Sepatutnya kejadian di Sungai Teluk Gong ini tidak berlaku kerana pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan pemantauan berkala dan melaporkan dalam jawatankuasa tertentu untuk tindakan.
“Keadaan sebegini menjejaskan ekonomi penduduk tempatan termasuk nelayan pantai dan kesihatan awam. Tindakan segera mesti dilaksanakan secara bersepadu, iaitu melibatkan penduduk tempatan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan JAS,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan, Sungai Teluk Gong yang terletak di Pelabuhan Klang boleh diibaratkan sudah mati ekoran pencemaran yang serius hingga dengan kualiti airnya tidak sesuai untuk sebarang kehidupan.
Keadaan ini boleh mengancam kesihatan lebih 40,000 penduduk sekitarnya, selain memudaratkan ekosistem dan alam sekitar.
Hasil ujian kualiti air yang diambil dari empat anak sungai sepanjang kira-kira 20 kilometer yang mengelilingi Teluk Gong hingga ke Pelabuhan Klang oleh sebuah makmal bebas bertauliah di Selangor mendapati kandungan amonia dalam airnya sangat tinggi.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengarahkan semua negeri memberikan laporan menyeluruh pencemaran sungai, status kualiti air, sumber pencemaran, status zon penampan sungai, kepentingan sungai dari segi kepelbagaian biologi, ekonomi nelayan sungai dan pantai, rekreasi dan pelancongan serta pendidikan dan air minuman.
Katanya, prosedur biasa tidak boleh lagi diguna pakai yang akhirnya tiada penyelesaian, malah perlu memastikan zon penampan sungai dikuatkuasakan dengan tegas.
“Tindakan pemulihan kawasan terbabit perlu demi ekonomi dan kesihatan penduduk tempatan terutama nelayan pantai dan kepelbagaian biologi termasuk burung burung hijrah pantai yang sensitif kepada bahan beracun yang mengumpul dalam rantai makanan,” katanya. – UTUSAN










