KOTA BHARU: Sebanyak 43 premis pusat asuhan dan tadika di negeri ini ditutup susulan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kesemua premis itu ditutup sehingga tempoh dua minggu untuk proses sanitasi dan pencegahan sebelum dibenarkan kembali beroperasi.
“Bermula Januari hingga 5 April lalu, sebanyak 4,591 kes HFMD dicatatkan di negeri ini dan meningkat 10 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun berlaku peningkatan, kes jangkitan (HFMD) di negeri ini mendatar dan tidak dipengaruhi pergerakan keluar masuk perantau ketika Ramadan atau Syawal,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Dr. Zaini berkata, langkah pencegahan tetap dijalankan dan tahap kebersihan perlu diambil berat terutama ibu bapa dan penjaga di tadika serta pusat asuhan kanak-kanak. – UTUSAN











