Kekerapan sidang media dikurangkan, fokus pemulihan kawasan letupan

Kekerapan sidang media dikurangkan, fokus pemulihan kawasan letupan

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika bercakap pada sidang media berkenaan situasi pemulihan kawasan kebakaran saluran paip gas Putra Heights di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Kekerapan sidang media membabitkan perkembangan kawasan letupan paip gas di Putra Heights akan dikurangkan kepada tiga hingga empat hari sekali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu bagi membolehkan proses pemulihan kawasan berkenaan dimulakan dan menjadi fokus pihak siasatan ketika ini.

“Semua sedia maklum bahawa sebentar tadi saya telah mempengerusikan mesyuarat untuk kali yang kesembilan Jawatankuasa Bencana Negeri yang mana itu boleh dianggap sebagai mesyuarat yang terakhir untuk kejadian kes letupan saluran paip gas ini.

“Justeru, Jawatankuasa yang bermesyuarat bermula Isnin nanti adalah Jawatankuasa Pemulihan. Jawatankuasa Bencana yang tinggal aktif adalah Bahagian Penyiasatan yang akan diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) untuk meneliti siasatan lanjut terhadap kes yang terbabit.

“Ini bermakna apabila dalam Jawatankuasa Pemulihan, frekuensi atau kekerapan sidang media selepas ini akan sedikit berkurang. Maknanya tidaklah tiap-tiap hari. Kemungkinan kita akan membuat di antara tiga hingga empat hari satu kali,” katanya.

Tambah Amirudin, mengurangkan pertemuan mesyuarat dan taklimat adalah lebih baik bagi memberi masa kepada pasukan siasatan menjalankan tugas.

“Bagaimanapun unit siasatan ini mempunyai ruang kalau mereka memerlukan masa lagi. Kita perlu bagi masa yang secukupnya kerana siasatan teknikal belum berjalan sepenuhnya.

“Ia hanya berjalan di atas papan pemuka dan beberapa laporan kertas. Siasatan belum berjalan di lapangan kerana tapak itu belum lagi stabil,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, laporan penuh dijangka akan dibentangkan oleh pasukan siasatan pertengahan bulan Mei ini bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor keselamatan kawasan letupan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN