Kedah mahu RM200j, tolak RM41j

Kedah mahu RM200j, tolak RM41j

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mahu ba­yaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan je­lapang padi bagi men­jamin bekalan beras negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata insentif khas RM41 juta setahun yang dica­dangkan Plan Malaysia me­­lalui Pelan Induk Peran­cangan Guna Tanah Kawa­san Sumber Makanan Negara (KAGUMN), tidak setimpal berbanding mengekalkan kawasan sa­wah padi di ne­geri ini sejak sekian lama.

“Insentif khas RM41 juta setahun ­dicadangkan (KAGUMN), tidak cukup me­ngekalkan kawasan sa­wah padi, berbanding pe­ngor­banan besar ditanggung Kedah.

“Walaupun jumlah tersebut dikira berdasarkan 0.1 peratus nilai setiap hektar tanah, tuntutan sebanyak RM200 juta setahun adalah wajar dan berasaskan realiti.

“Cadangan RM41 juta bagi keseluruhan kawasan jelapang dan luar jelapang di Kedah kecil kerana menggunakan kaedah 0.1 peratus daripada nilai tanah,” katanya.

“Kalau setiap hektar ta­nah dianggarkan bernilai RM400,000, kita hanya dapat RM41 juta. Sedangkan pengorbanan Kedah menjaga sawah padi dan kawasan tadahan air jauh lebih besar,” katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di semalam.

Beliau menjawab perta­nyaan lisan Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) mengenai perkembangan tuntutan insentif RM200 juta yang turut mendapat sokongan Sultan Kedah.

Menurut Muhammad Sanusi (PN-Jeneri), kerajaan negeri jelapang padi itu telah mencadangkan agar kadar pengiraan dinaikkan kepada 0.38 peratus agar Kedah sekurang-kurangnya menerima RM157 juta setahun jika tidak pun RM200 juta.

Permohonan RM200 juta oleh kerajaan negeri masih dalam pertimbangan Pusat. Beberapa libat urus diadakan termasuk Mesyuarat Majlis Pe­rancang Fizikal Negara (MPFN) terakhir yang mana PlanMalaysia membentangkan sistem KAGUMN.

“Kita tak buat tuntutan ini sesuka hati. Ini soal kos melepas yang tinggi. Kalau Kedah tarik diri sebagai jelapang padi, negara akan hadapi kesan besar dari segi sekuriti makanan,” tegasnya.

Menjawab soalan tambahan Hanif mengenai pendirian jika tuntutan tidak dipenuhi, beliau menegaskan pendekatan rundingan tetap menjadi ke­utamaan.

“Saya yakin jika diberi pertimbangan wajar, tiada yang waras akan menolak permintaan berasaskan logik. Bajet negara mencecah RM430 bilion setahun, takkan RM200 juta untuk jamin bekalan makanan pun tak boleh diberi,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah turut mengekalkan kawasan hutan untuk tadahan dan bekalan air, jadi beliau menyifatkan tuntutan Kedah itu berasas.

“Kehilangan hasil cukai tanah yang dikekalkan untuk kawasan padi begitu besar. Sekitar 5,000 hektar tanah termasuk dalam rancangan tempatan daerah yang boleh dibangunkan projek lain sama ada perumahan, industri, komersial yang boleh mengubah nilai cukai tanah itu.

“Daripada keseluruhan kawasan termasuk dalam rancangan itu, jika kita ubah syarat tanah, kita boleh kutip cukai sewa tanah, cukai ubah jenis kegunaan tanah, cukai taksiran, caj pemajuan dan caj sumber air mentah yang dianggarkan RM116 juta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya