PETALING JAYA: “Kecewa, mampu telan air liur sahaja bila tahu.”
Demikian jawapan pelakon, Azhar Sulaiman apabila mengetahui anaknya, Kasih Iris Leona, secara senyap-senyap memohon kursus pengajian dalam bidang pengurusan, berbeza daripada pilihan keluarga yang menginginkan bidang perundangan.
Memetik daripada video yang dimuat naik Azhar berkata, sebagai seorang bapa, dia berhasrat untuk menjadikan anaknya seorang peguam untuk mengambil alih firma guaman isterinya, Chempaka Emalin Pahamin.
“Nama firma guaman itu Pahamin & Pahamin, jadi saya harap Leona dan abangnya, Rees akan jadi peguam. Namun nampaknya hanya Rees yang berminat untuk mengambil jurusan undang-undang,” katanya.
Kongsi Azhar, perkara tersebut telah dibincangkan bersama sewaktu dalam kereta kira-kira tiga tahun lalu, namun ketika tiba waktu permohonan kursus, Leona membuat permohonannya sendiri.
“Bila kami dapat tahu, kami hanya mampu telan air liur sahaja.
“Perasaan kecewa itu adalah sedikit tetapi kami sebagai ibu bapa tidak boleh terlalu berpegang dengan apa yang kita mahu kerana mungkin Leona lebih tahu dengan kemampuan dirinya,” katanya.
Tambahnya, dia sering melihat sebuah keluarga yang anaknya mengikut jejak langkah ibu bapa mereka dan ingin perkara serupa berlaku dalam keluarganya.
“Saya melihat orang lain, ibu bapanya doktor, anaknya juga seorang doktor, bagi saya perkara itu menyeronokkan bila ada anak menyambung tradisi.
“Saya mengharapkan perkara itu terjadi dalam keluarga saya tapi tidak mengapa, Leona pun sudah tamat belajar, riuhlah Malaysia nanti Leona balik,” katanya berseloroh.
Untuk makluman, Kasih Iris Leona melanjutkan pengajian di University of Bath, United Kingdom.