SUBANG JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada pelajar, guru dan kakitangan yang terjejas akibat bencana kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, menjadi komitmen KPM untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan terpelihara.
“Bagi permulaan, KPM akan menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap murid, guru dan warga institusi pendidikan KPM yang terjejas.
“Ini juga termasuk dengan sokongan lain seperti bantuan persekolahan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, hari ini.
Tambah Fadhlina, pihaknya telah dimaklumkan bahawa terdapat warga KPM yang mengalami kerugian penuh akibat bencana ini termasuk kehilangan semua barang keperluan sekolah.
Katanya, justeru KPM akan memastikan keperluan mereka dipenuhi agar proses pembelajaran dapat diteruskan.
Selain bantuan kewangan, Fadhlina berkata, KPM juga akan memberikan bantuan psikososial serta sokongan akademik bagi membantu murid-murid yang terkesan.
“Mengenai sesi persekolahan, ia bergantung kepada keadaan kesihatan dan persiapan murid selepas bencana ini. Setakat ini, seramai 102 murid, lima orang guru serta kakitangan KPM terjejas akibat bencana ini.
“Empat murid masih menerima rawatan di hospital. Keseluruhan pelajar yang terlibat datang daripada 23 buah sekolah di kawasan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri telah diarahkan untuk terus memantau keadaan mangsa secara berterusan bagi memastikan segala bentuk bantuan dapat diberikan dengan segera. – UTUSAN