KUALA LUMPUR: Seramai 31 daripada 91 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak yang terlibat dalam insiden kebakaran asrama semalam, hadir ke sekolah seperti biasa hari ini.
Menurut Pengarah Pendidikan, Megat Affandi Ismail, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama dua minggu bermula esok.
“Atas perbincangan bersama pihak Kementerian Pendidikan, kami bersetuju untuk mengadakan sesi PdPR bagi membantu murid-murid yang terjejas memulihkan semula emosi mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa kaedah telah disusun bagi memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar yang terkesan.
“Antara kaedah yang dipersetujui ialah ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari, selain menawarkan penempatan sementara di mana-mana asrama terdekat dengan penyediaan perkhidmatan bas.
“Selain itu, kuarters guru yang tersedia turut dijadikan penempatan sementara bagi pelajar terlibat,” katanya.
Megat Affandi turut memaklumkan, pihak bomba berjaya menyelamatkan sejumlah barang penting termasuk beg duit milik guru semasa kejadian.
Dalam pada itu, beliau berkata, sesi PdPR akan berjalan selama dua minggu, namun tempoh tersebut boleh disesuaikan mengikut keperluan semasa.
Bagi memastikan kesejahteraan emosi pelajar, pihaknya melaksanakan gerakan bersama kaunselor secara menyeluruh merangkumi aspek emosi, penginapan dan sokongan psikososial.
“Kita mahu pelajar kembali pulih, bukan sahaja dari segi pembelajaran, malah dari segi mental dan emosi mereka,” katanya.
Tambah beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan semua pelajar mendapat sokongan secukupnya sepanjang tempoh pemulihan itu.
Sebuah blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini yang menempatkan kira-kira 91 pelajar lelaki, terbakar dalam kejadian malam tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu semua pelajar dilaporkan selamat berikutan berada di surau sekolah menunggu waktu Isyak. – UTUSAN