KDN siasat Sin Chew Daily, tindakan tegas selepas siasatan lengkap

KDN siasat Sin Chew Daily, tindakan tegas selepas siasatan lengkap

Kementerian Dalam Negeri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini telah memanggil pihak akhbar Sin Chew Daily bagi tujuan siasatan di atas penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh semalam.

KDN dalam kenyataan memaklumkan, Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan pada sesi berkenaan oleh pihak akhbar terbabit.

Tegasnya, KDN sudahpun memulakan tindakan siasatan serta-merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.

“KDN tidak sekali-kali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana diperuntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” katanya dalam kenyataan hari ini.

KDN berkata, perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.

Selain itu, katanya, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol; ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 414, boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa sama, katanya, sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya