GEORGE TOWN: Restoran nasi kandar terkenal, Restoran Hameediyah akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh awal gangguan bekalan air berjadual bermula Jumaat ini selagi bekalan air masih disalurkan ke cawangan-cawangan restoran berkenaan.
Pengarah Urusannya, Mohd. Riyaz Syed Ibrahim berkata, pihaknya bagaimanapun akan menutup operasi buat sementara waktu sebaik sahaja bekalan air dihentikan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan yang akan dijalankan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Operasi (restoran) akan berjalan seperti biasa sehingga bekalan air betul-betul tidak ada. Selagi aliran air ke premis masih ada, operasi perniagaan akan diteruskan seperti biasa demi pelanggan.
“Bila air tidak ada, baru kita akan tutup sementara dan kita hanya akan buka semula operasi untuk pelanggan apabila air disalurkan semula nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini memaklumkan, sebanyak 341,708 akaun pengguna di lima daerah di Pulau Pinang akan terkesan dengan gangguan bekalan air dari 25 hingga 28 April, ekoran pelaksanaan 23 projek yang melibatkan kos keseluruhan RM25 juta.
Dalam pada itu, Mohd Riyaz berkata, pengalaman lalu mengajar pihak pengurusan Restoran Hameediyah untuk lebih berhati-hati dalam membuat sebarang persediaan melibatkan kos besar seperti penyewaan tangki air.
“Tahun lepas, kami sewa tangki air hampir RM35,000 kerana kami dimaklumkan bahawa akan berlaku gangguan air selama empat hingga lima hari. Tetapi, dalam tempoh sehari sahaja gangguan bekalan berlaku. Jadi, kami alami kerugian selepas sewa tangki air itu,” katanya.
Dalam pada itu, pengusaha kafe Teakadai, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, pihaknya juga akan meneruskan operasi seperti biasa sepanjang tempoh gangguan air berjadual itu.
Katanya, pelbagai langkah persediaan telah diambil bagi memastikan operasi tidak terjejas termasuk penggunaan peralatan pakai buang dan bekalan air mineral.
“Semua air yang dibancuh kami guna air mineral dan kami juga menukar penggunaan gelas dan pinggan biasa kepada cawan kertas dan pinggan kertas sepanjang tempoh gangguan. Jadi, pelanggan masih boleh makan dan minum di kafe seperti biasa,” katanya. – UTUSAN











