CYBERJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhasrat untuk mencapai visi sifar kemalangan di tempat kerja berdasarkan trend penurunan kadar kecederaan pekerjaan dan insiden kematian yang direkodkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, antara tahun 2014 hingga 2024, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan penurunan 17 peratus kadar kecederaan pekerjaan dengan insiden kematian turut mencatat penurunan hampir 40 peratus.
Menurut data interim daripada JKKP, kadar kecederaan dan kecederaan maut bagi 2014 adalah masing-masing 3.10 per 1,000 pekerja dan 4.21 per 100,000 pekerja, berbanding 2.58 per 1,000 pekerja dan 2.58 per 100,000 pekerja pada tahun lalu.
“Tidak harus ada kemalangan, kecederaan atau kematian di tempat kerja (kerana) semua pekerjaan harus selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (World OSH Day) 2025 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, penggunaan teknologi dron, Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) oleh JKKP telah meningkatkan aspek keupayaan kejuruteraan forensik, penguatkuasaan tapak bina dan penyiasatan kemalangan di lapangan terutamanya melibatkan lokasi yang tinggi dan sukar diakses.
Jelasnya, sebanyak 119 notis telah dikeluarkan JKKP berdasarkan lebih 800 pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan menggunakan kaedah penerbangan dron.
“Dron ini ada elemen AI (kecerdasan buatan), apabila ia diterbangkan ke tapak pembinaan, ia akan mengenal pasti insiden-insiden ketidakpatuhan (yang berlaku).
“Sebagai contoh, ada pekerja yang berada di tempat tinggi tanpa memakai peralatan keselamatan. Jadi, dron itu akan kenal pasti secara automatik dan akan beri maklum balas kepada pegawai bertugas untuk ambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya lagi, penubuhan makmal AR/VR oleh JKKP pada Oktober tahun lalu turut mempercepatkan serta meningkatkan keberhasilan dari segi siasatan, selain mengurangkan risiko keselamatan melibatkan pegawai yang perlu turun ke lokasi kejadian kemalangan pekerjaan.
“Tujuannya adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan dari segi keupayaan forensik, penyiasatan dan latihan kepada pegawai penguatkuasa di JKKP.
“Penubuhan makmal tersebut juga mengurangkan risiko pegawai kita yang sering melawat ke kawasan kemalangan kerana mereka boleh gunakan kaedah AR/VR untuk melihat masalah yang berlaku di tempat itu,” ujarnya. – UTUSAN