KUALA LUMPUR: Semua aduan dan bantahan berkaitan pemilihan cabang PKR sebelum ini yang dikemuka kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini sedang diteliti oleh juruaudit antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pemilihan dilaksanakan partinya tidak adil hanya kerana terdapat aduan dan bantahan daripada beberapa pihak.
Beliau yang juga Presiden PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tidak berbangkit soal keadilan berkaitan pemilihan parti kali ini, khususnya terhadap setiap bantahan dan aduan yang diterima.
“Adakah kalau ada aduan itu (pemilihan parti dianggap) tak adil. Itu sangat prejudis hanya kerana ada pihak yang membuat aduan.
“Memang ada aduan dan kita ambil perhatian, sekarang juruaudit antarabangsa sedang semak setiap aduan ini,” katanya ditemui media pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengingatkan semua anggota parti itu supaya membuat aduan berkaitan salah laku dalam Pemilihan PKR 2025 melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Katanya, keputusan aduan akan mula dimaklumkan mulai minggu depan.
Pemilihan cabang PKR berakhir minggu lalu, dengan beberapa cabang mengemukakan bantahan sebelum ini juga akan mengadakan pemilihan semulanya pada Ahad.
Tiga bahagian PKR iaitu Selayang, Jempol dan Silam juga perlu mengadakan pemilihan semula. – UTUSAN