ALOR GAJAH: Seorang anak jati Melaka berjaya menghasilkan busur tradisional Taming Sari yang mengangkat ciri-ciri dan identiti negeri ini sehingga mendapat perhatian peminat busur antarabangsa.
Pemilik Taming Sari Archery, Sufyan Mohd. Salleh, 65, berkata, penghasilan busur Taming Sari bermula sejak 2017 melalui kajian dan pembacaan bahan ilmiah daripada pelbagai sumber.
Katanya, dia terpanggil untuk menghasilkan busur bercirikan Melaka selepas mendapati agak sukar untuk mencari maklumat mengenai persenjataan masyarakat Melayu terutama panah.
“Orang Melayu hebat dengan sejarah tetapi sukar mencari bahan bacaan yang mengangkat kehebatan senjata panah. Sebenarnya semua jenis busur memiliki bentuk asas yang hampir sama, namun terdapat ciri khusus yang membezakannya.
“Ciri itu adalah karakter ‘siyah’ yang terletak pada hujung busur. Siyah Taming Sari dihiasi ukiran indah dan lebih berseni menjadikannya unik dan mudah dikenali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bengkelnya di Durian Tunggal di sini.
Tambah Sufyan, lebih 5,000 unit busur Taming Sari telah dihasilkannya dalam tempoh lapan tahun, susulan permintaan tinggi daripada pelanggan termasuk dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).
Katanya, busur paling mahal yang pernah dihasilkan bernilai RM3,000 seunit.
“Harga Taming Sari bermula RM450 tetapi boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada kehendak pelanggan. Semakin kompleks rekaan semakin mahal harganya.
“Walaupun busur ini kategori tradisional tetapi penghasilannya menggunakan perisian komputer bagi menentukan sudut, lenturan dan kelajuan anak panah. Pengalaman bekerja dalam bidang kejuruteraan mekanikal selama 40 tahun saya terapkan dalam pembuatan busur bagi meningkatkan kualitinya,” ujarnya. – UTUSAN