PETALING JAYA: Kegiatan haram seorang lelaki yang dipercayai terlibat menjual batu landak raya terbongkar selepas kediamannya di Bandar Sungai Long, Kajang di sini diserbu pihak berkuasa, kelmarin.
Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dijalankan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi kira-kira pukul 3 petang dijalankan hasil maklumat dan risikan dengan menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek turut menemukan 34 disyaki batu landak raya.
“Turut ditemukan adalah 32 disyaki duri landak raya selain rampasan dua telefon bimbit, bil elektrik dan salinan resit urus niaga.
“Kesemua nilai rampasan berjumlah RM582,640 dan suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek merupakan pengurus perniagaan bagi ubatan tradisional yang bergiat aktif sejak tiga tahun lalu.
Jelasnya, batu landak raya itu dipercayai dijual suspek sebagai ubatan tradisional.
“Aktiviti jualan itu dilakukan secara dalam talian dari rumahnya dan barang dihantar kepada pelanggan menggunakan khidmat kurier,” ujarnya. – UTUSAN










