KULAI: Kerajaan negeri akan memperketatkan pemantauan terhadap kerja-kerja pembinaan dan pembangunan yang berhampiran dengan paip gas bagi memastikan insiden yang berlaku di Putra Heights, Selangor tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, perlu ada pihak yang bertanggungjawab di lokasi bagi memantau kerja tersebut dilakukan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan semua senarai semak dipatuhi oleh pihak kontraktor, lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja itu diserahkan kepada subkontraktor.
“Jika kerja di tapak dipantau dengan baik seperti mana spesifikasi yang ditetapkan, Insya-Allah perkara seperti di Putra Heights dapat dielakkan,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka ADUN Bukit Permai, di Dewan Raya Putra, di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, Johor mempunyai dua kawasan utama yang menjadi tumpuan industri petrokimia melibatkan penggunaan paip gas iaitu di Pasir Gudang dan Pengerang.
Katanya, kelulusan pemasangan paip gas di dua kawasan itu telah diluluskan sejak 2015 dan sehingga kini tidak pernah berlaku sebarang insiden serius.
“Setakat ini, semuanya diselenggara dengan baik. Petronas bersama PBT terlibat sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan aspek penguatkuasaan dipatuhi,” katanya.
Tambahnya, proses kelulusan pemasangan paip gas melibatkan lebih 10 jabatan antaranya Unit Perancang Ekonomi, Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains.
“Dari segi kelulusan teknikal, semua gerak kerja sudah mengikut dasar dan syarat ditetapkan tetapi masalah akan berlaku di tapak apabila kontraktor menjalankan kerja tanpa pemantauan rapi.
“Sebab itu penting ada individu yang bertanggungjawab di tapak pembangunan bagi memastikan kerja dilakukan mengikut spesifikasi. Ia penting kerana paip gas melibatkan isu keselamatan peringkat tertinggi,” ujarnya. – UTUSAN