MADINAH: “Sebenarnya saya mahu menyorok.”
Demikian reaksi spontan pesara guru, Noorazlina Abd. Kadir, 60-an, seorang daripada 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama KT001 sebaik tiba di bangunan penginapan Zon 2, Hotel Emaar Royal, di sini semalam.
Suaminya, Mohd. Nazly Tan Abdullah, 64, merupakan jemaah haji pertama yang turun dari bas sebaik tiba di bangunan penginapan sebelum diikuti Noorazlina.
Menurut Noorazlina, ketika di tanah air dia dimaklumkan bahawa jemaah KT001 akan diberi liputan media semasa berlepas dari KLIA Terminal 1, Sepang dan tiba di Madinah.
“Saya tidak mahu sebenarnya tetapi apabila Tuhan sudah kata hendak kena (ditemu bual media) tetap kena juga kan.
“Apa-apa pun, mashaAllah perasaan tiba di bumi berkah ini tidak terkata sebenarnya sebab kami terkejut, berbaur perasaan itu gembira memang gembira dan tidak sangka kami diraikan dengan meriah sebegini. Terima kasih Tabung Haji (TH),” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Nazly berkata, pengalaman ke Tanah Suci kali ini amat luar biasa kerana hanya memerlukan tempoh lima minit untuk melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi.
“Semasa naik ‘shuttle’ di lapangan terbang saya naik yang terakhir. Tidak sangka dapat duduk di depan (dalam bas) dan menjadi orang pertama diraikan.
“Tangan saya sejuk disebabkan pendingin hawa, namun sambutan yang diterima ini amat hangat sekali. Saya terasa amat teruja,” ujar lelaki mualaf itu yang memeluk Islam pada usia 21 tahun.
Seorang jemaah haji wanita, Supiah Hussin, 70, tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di bumi Madinah selepas terpilih sebagai dhuyufurrahman pada musim haji tahun ini.
“Saya menyimpan duit selama 15 tahun hasil berniaga kuih. Walaupun tak banyak, kadang-kadang cuma dapat RM10 atau RM20 sehari, tetapi alhamdulillah.
“Dengan duit tabungan itu akhirnya Allah jemput saya menjadi tetamu-Nya,” tambahnya.
Terdahulu, seramai 284 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama KT001 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Bin Abdulaziz, di sini kira-kira 8.04 pagi waktu tempatan.
Ketibaan mereka di bangunan penginapan jemaah haji di Hotel Emaar Royal Madinah pada 9.35 pagi disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Sharif.
Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga TH terdiri daripada Konsul Haji Malaysia, Radin Adi Hilmi; Pengarah Operasi Madinah, Affandi Abdullah dan Timbalan Ketua Rombongan, Mohamed Heikal Mohamed Yusuff serta petugas TH bagi musim ini. – UTUSAN