PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua calon dan anggota parti itu menjalani proses pemilihan parti kali ini dengan penuh etika serta dengan semangat kekeluargaan.
Katanya, budaya memecahbelahkan politik perlu dielak bagi memastikan demokrasi dalaman parti terus kukuh demi masa depan yang lebih utuh.
“Selamat mengundi dan selamat maju jaya kepada semua calon serta anggota Keadilan dalam pemilihan parti kali ini.
“Proses ini harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika, menjauhi budaya yang memecahbelahkan. Demokrasi dalaman parti perlu diperkukuh demi masa depan yang lebih utuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar yang juga Perdana Menteri turut menegaskan, Keadilan bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata sebaliknya merupakan wadah perjuangan rakyat.
Katanya, justeru, adalah menjadi tanggungjawab anggota untuk memilih barisan kepemimpinan yang benar-benar berintegriti, amanah serta membawa suara rakyat terbanyak.
“Insya-Allah, usaha dan ikhtiar kita akan dipermudahkan demi Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua,” katanya. – UTUSAN