KUALA LUMPUR: “Jadi sehingga bila perbicaraan ini akan berterusan? Adakah saya perlu biarkan kes ini terbuka sehingga Jho Low atau Roger Ng datang ke mahkamah?”
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengutarakan pertanyaan tersebut kepada peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas beliau memaklumkan pihaknya ingin memanggil beberapa saksi bagi mengetahui keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Terdahulu, Penasihat Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri (KDN), Muhammad Ilmami Ahmad memaklumkan mahkamah bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan memfailkan permohonan untuk membatalkan sapina yang dihantar oleh pembelaan.
Menurut Muhammad Ilmami, sapina itu diterima pada 14 April lalu dan tidak menyatakan alasan kepada KPN perlu memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.
Hakim Sequerah: Awak ingin memanggil Ketua Polis Negara untuk mengetahui di mana Roger Ng. Lepas itu adakah awak ingin memanggil Roger Ng sebagai saksi?
Wan Azwan Aiman: Buat masa ini kami hanya ingin menemuramahnya sahaja.
Hakim Sequerah: Siapa lagi saksi dari Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara yang pembelaan nak dipanggil. Saya perlu tahu sama ada kes ini boleh diselesaikan dalam tempoh masa tertentu atau tidak.
Wan Azwan Aiman: Kami ingin memanggil beberapa individu tetapi ada yang telah kemuka permohonan untuk batalkan sapina, ada saksi yang ditawarkan tetapi di luar negara.
Hakim Sequerah: Sapina telah diserahkan kepada saksi-saksi (yang berada di luar negara)?Wan Azwan Aiman: Belum.
Hakim Sequerah: Kalau awak (pembelaan) dah serahkan sapina dan saksi-saksi tidak datang pada tarikh yang ditetapkan, saya boleh keluarkan waran tangkap. Awak tak boleh buat mahkamah ini seperti tebusan, (terpaksa) mengikut kesenangan mereka.
Wan Azwan Aiman: Bukan kami tidak berusaha tetapi kami menghadapi halangan. Tetapi adalah sesuatu yang boleh dipuji kami mampu memanggil hampir 20 orang saksi dalam tempoh empat bulan.
Dalam kes membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. yang turut melibatkan Najib yang diwakili pasukan pembelaan diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peringkat bela diri hanya mengambil masa selama 33 hari untuk memanggil 19 orang saksi sebelum kes pembelaan ditutup.
Pada ketika ini, saksi pembelaan ke-20, Pengarah Kanan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mohd. Hafaz Nazar sedang memberi keterangan.
Sebelum ini, pembelaan turut mengeluarkan sapina kepada Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) sehari sebelum individu terbabit dipanggil memberi keterangan.
Ketua Pengarah yang tidak dinamakan secara rasmi turut memohon untuk membatalkan sapina tersebut atas alasan beliau tidak boleh mendedahkan hal-hal dan peserta yang terlibat dengan program perlindungan saksi. Namun permohonan untuk membatalkan sapina itu masih belum didengar oleh mahkamah.
Untuk rekod, perbicaraan kes 1MDB telah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu. Perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019 dan pendakwan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024, selepas 235 hari perbicaraan.
Najib diperintahkan untuk membela diri pada 30 Oktober 2024 dan mula memberi keterangan bela diri bermula 2 Disember tahun lalu.
Najib mengambil masa 16 untuk membaca 678 muka surat pernyataan saksinya, menjawab soalan-soalan tambahan dan pemeriksaan semula, manakala pendakwaan mengambil masa 10 hari untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Pada prosiding terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembelaan dijangka akan menutup kes sekitar Jun ini. Hakim Sequerah akan mencapai umur persaraan wajib pada awal tahun hadapan.-UTUSAN