TEMERLOH: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Tanjung Kerayong dan Kampung Mambang Berulang di sini, bakal menikmati kemudahan infrastruktur lebih moden serta selesa dengan pembinaan dua jambatan konkrit bernilai RM29 juta merentasi Sungai Semantan.
Projek ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk di dua kampung tersebut tetapi Kampung Sungai Dingin, Bukit Malaysia dan Kampung Sungai Ara menggantikan jambatan gantung lama yang sering rosak akibat banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan berkata, Kerajaan Madani komited dalam menyediakan kemudahan prasarana yang lebih kukuh dan selamat kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Pembinaan jambatan ini bukan sahaja menghubungkan kampung-kampung tradisi dengan bandar malah memberi kesan positif kepada sosioekonomi penduduk.
“Akses lebih baik bermakna lebih ramai yang boleh ke tempat kerja, sekolah serta menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih mudah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurut Chee Wan, Jambatan Tanjung Kerayong yang dihanyutkan banjir pada 29 Mac 2022 digantikan dengan jambatan konkrit yang lebih kukuh dengan kos RM16.5 juta.
“Proses tender terbuka bagi projek ini berakhir pada 24 Januari 2025 dan pemilihan kontraktor kini sedang dijalankan, ia dijangka dibina tahun ini.
Pembinaan Jambatan Kampung Mambang Berulang yang bernilai RM12.5 juta hampir siap dan dijangka boleh digunakan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.
“Jambatan ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk yang selama ini terpaksa mengambil masa 40 minit untuk ke Mentakab melalui jalan lama yang bengkang-bengkok. Dengan adanya jambatan ini, perjalanan ke bandar hanya mengambil masa sekitar 10 minit,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Mambang Berulang, Marto Marijo, 60, menyifatkan pembinaan jambatan konkrit ini sebagai satu perubahan besar yang dinanti-nantikan. – UTUSAN