KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya dalam tempoh dua minggu Ahli Parlimen Bera itu belum mengemukakan dokumen diperlukan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, fasa pertama siasatan telah dilaksanakan dan kini beralih kepada fasa seterusnya untuk Ismail Sabri dipanggil semula dalam tempoh dua minggu.
“Sekarang kita akan memanggil dia lagi dalam tempoh terdekat. Saya sudah arahkan dalam tempoh dua minggu.
“Beliau akan ditanya pula berhubung pengisytiharan harta beliau kepada kami, yang itu belum selesai lagi dan beliau telah diminta untuk membekalkan dokumen-dokumen tertentu untuk menyokong sebarang pembelaan beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM bersama Media Sabah, hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri Kesembilan itu dilaporkan akan dipanggil semula oleh SPRM dalam beberapa minggu lagi.
Difahamkan, proses merekod keterangan itu akan memasuki fasa yang menumpukan pengisytiharan harta.
Pada 24 Mac lalu, Ismail Sabri kali terakhir dirakam keterangan untuk siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia, ketika tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN