PETALING JAYA: Peningkatan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 merupakan bukti bahawa inisiatif bersepadu Kementerian Pendidikan (KPM) membuahkan hasil khususnya melalui pelaksanaan intervensi akademik yang lebih berfokus.
Malah, peranan aktif ibu bapa dan sikap pelajar yang lebih positif turut mendorong pencapaian cemerlang tahun ini, sekali gus menyumbang kepada pengecilan jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, antara usaha bersepadu KPM yang menyumbang kepada peningkatan keputusan SPM termasuklah pendekatan pengajaran yang lebih sistematik serta penyediaan kemudahan pembelajaran seperti Peranti Peranti Pendidikan (PPP).
Katanya, pencapaian cemerlang itu turut didorong oleh sikap pelajar yang semakin serius dalam menghadapi peperiksaan, selain peranan aktif ibu bapa yang sentiasa memberikan galakan dan sokongan tambahan seperti latihan latih tubi di rumah.
“Semua ini adalah hasil kerjasama erat antara kementerian, guru, pelajar dan ibu bapa dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran.
“Apabila setiap pihak memainkan peranan masing-masing, maka hasilnya jelas dapat dilihat menerusi keputusan peperiksaan yang semakin memberangsangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, pencapaian SPM 2024 merekodkan keputusan terbaik dalam tempoh 11 tahun lalu iaitu sejak diperkenalkan syarat pensijilan wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada 2013.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pada 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023 yang mengecil sebanyak 0.11 mata.