PETALING JAYA: Bantuan kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights perlu diberikan secara menyeluruh dan berkesan, khususnya melibatkan keperluan asas seperti tempat tinggal dan akses pendidikan anak-anak.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia susulan terdapat laporan menunjukkan kesukaran yang dihadapi mangsa untuk mendapatkan kediaman sementara disebabkan bayaran deposit tinggi dan permintaan sewaan yang mendadak di kawasan sekitar.
“Kerajaan Selangor telah mengumumkan bantuan sewa rumah kepada 613 keluarga mangsa.
“Bantuan ini amat dihargai dan disambut baik sebagai langkah awal pemulihan tetapi timbul persoalan sama ada semua mangsa telah berjaya mendapatkan rumah sewa yang sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohamed Sukri berkata, wujud kebimbangan bahawa sebahagian keluarga masih belum memperoleh kediaman walaupun bantuan telah diumumkan kerana dikenakan bayaran deposit sehingga tiga bulan oleh pemilik rumah.
Katanya, ia merupakan beban kewangan besar kepada mangsa yang baru kehilangan tempat tinggal.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, antara aduan utama mangsa ialah kesukaran mendapatkan rumah sewa berikutan bayaran pendahuluan yang tinggi ketika beliau melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri menyediakan mekanisme tambahan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa, termasuk jaminan sewa atau dana pendahuluan bagi membolehkan keluarga menyewa tanpa perlu menyediakan wang deposit yang tinggi.
Selain itu, katanya, perlu ada rundingan dengan pemilik rumah untuk meringankan syarat sewaan serta mobiliti atau sokongan pengangkutan, terutama jika rumah yang disewa terletak jauh dari sekolah anak-anak atau tempat kerja ibu bapa.
“Adakah kerajaan negeri turut mempertimbangkan penempatan semula yang lebih strategik bagi mengurangkan impak kepada kehidupan harian mangsa?” soalnya.
Beliau berkata, keutamaan kini bukan sahaja memastikan tempat tinggal yang sementara tetapi juga mengelakkan beban tambahan kepada mangsa dalam proses pemulihan kehidupan selepas tragedi.
Katanya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu mempercepat usaha penyelarasan dan pemantauan agar setiap keluarga yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya tanpa halangan yang membebankan. – UTUSAN