PETALING JAYA : Jabatan Imigresen Kuala Lumpur terus bertindak melakukan penguatkuasaan apabila melakukan pemeriksaan terhadap warga asing yang melakukan kerja mengurut kaki di deretan lot kedai di Chow Kit semalam.
Menerusi serbuan Op Kutip bermula pukul 11.35 pagi itu dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Hasil serbuan dilakukan, rata-rata tukang urut warga asing terbabit sedang sibuk mengurut pelanggan sebelum terpinga-pinga apabila ditahan.
Malah ada antara mereka cuba melarikan diri selepas mengenakan bayaran RM30 bagi khidmat urut kaki itu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 18 warga Indonesia termasuk tujuh wanita berusia lingkungan 33 hingga 55 tahun telah ditahan.
“Antara kesalahan dilakukan ialah tinggal lebih masa dan tiada memiliki pas sah.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk dokumentasi dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam operasi berasingan, empat premis perniagaan diserbu JIM Kuala Lumpur menerusi Op Belanja bermula pukul 9 malam.
Tambah beliau, seramai 23 warga asing termasuk empat wanita telah ditahan membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Yaman, Syria, Indonesia.
Tegasnya, JIM Kuala Lumpur tidak akan berkompromi dengan warga asing yang melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen atau pas yang sah, tinggal lebih masa daripada tempoh pas atau permit yang dibenarkan serta telah melanggar syarat-syarat pas yang dikeluarkan.
“Pihak majikan juga diberi amaran keras supaya tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau melindungi mana-mana PATI kerana tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas mereka,” ujarnya. – UTUSAN