Ibu tunggal didakwa aniaya anak sehingga cedera

Ibu tunggal didakwa aniaya anak sehingga cedera

SEORANG ibu tunggal (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya sehingga cedera pada Ahad lalu di Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Seksyen, di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada Ahad lalu. 

Tertuduh, Ong Ying Jy, 33, mengangguk faham dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid. 

Mengikut pertuduhan, Ying Jy didakwa telah menganiaya anak kandungnya berusia 11 tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan fizikal. 

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik di sekitar Taman Kangar pada 6 April kira-kira pukul 6 pagi. 

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2006.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau keduanya sekali.  

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam. 

Semasa prosiding, Nabilah memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 bersama syarat tambahan di mana kanak-kanak itu ditempatkan di bawah jagaan mana-mana pihak atau mengarahkan tertuduh untuk tidak mendekati mangsa. 

Tertuduh bagaimanapun meminta agar mahkamah dapat mengurangkan jumlah jaminan berkenaan berikutan perlu menanggung anak di bawah jagaannya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain tidak dibenarkan tinggal serumah atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya