PETALING JAYA: Terus menjadi sorotan, adik kepada penyanyi, Amira Othman, Irfan Haris tampil berkongsi mengenai kehadiran pelakon, Fattah Amin beraya di kediaman keluarganya di Johor, baru-baru ini.
Menurut Irfan, kehadiran aktor popular itu disambut meriah oleh ahli keluarganya, bahkan ibunya juga turut menyediakan makanan kegemaran Fattah iaitu sambal udang.
“Ada satu hari mama saya masak, saya lihat mama masak sambal udang dalam kuantiti yang banyak. Selalu kebiasaanya kalau raya mama akan masak lauk raya macam rendang dan sebagainya, tapi kali ini sambal udang.
“Saya tanya ada orang nak datang beraya ke? Dia jawab abang long (Fattah) nak datang beraya. Saya terus teruja,” kongsi menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok.
Dalam masa sama, Irfan turut memberitahu bahawa Amira meminta mereka sekeluarga mengenakan baju sedondon berwarna kelabu untuk menyambut kedatangan penyanyi lagu Lelaki Terakhir itu.
“Masa saya tengah bersiap, Kak Ya (Amira) ketuk pintu bilik cakap semua kena pakai baju warna kelabu. Saya dah gelabah sebab tak jumpa baju warna itu.
“Saya geledah punya geledah akhirnya jumpa. Dan apabila saya turun ke lantai bawah, saya nampak abang long pun pakai kelabu. Satu keluarga saya pakai kelabu termasuk mama, ayah dan abang-abang saya,” jelasnya.
Lebih menarik lagi, penyanyi lagu Pesan itu juga mendedahkan bahawa Amira juga yang mengajar Fattah untuk melakukan trend tarian ‘velocity’.
“Apabila dah pakai sedondon itu yang kami buat konten menari ‘velocity’. Tarian ‘velocity’ itu pun kak Ya yang ajar abang long. Saya cakap ‘korang ambil jela bumi ini’. Bila post ramai suka dan cakap ‘velocinta’,” katanya.
Terdahulu, Fattah dilihat tidak kekok melayan kerenah adik-beradik Amira ketika membuat trend tarian ‘velocity’ sewaktu beraya di kediamannya di Johor.
Perkongsian yang telah dimuat naik oleh Irfan itu secara tidak langsung telah menuai pelbagai reaksi dari kalangan warganet yang rata-ratanya memberi lampu hijau terhadap hubungan Fattah dan Amira.-UTUSAN