Ibu saksi penyatuan semula KRU hasilkan album Kaset - Utusan Malaysia

Ibu saksi penyatuan semula KRU hasilkan album Kaset

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Genap 33 tahun bertapak dalam industri muzik, kumpulan ikonik, KRU kini kembali dengan buah tangan terbaharu mereka iaitu album Kaset.

Menurut Edry, ibu mereka, Zarina Abdul Wahab Fenner merupakan insan yang paling bahagia menyaksikan penyatuan semula kumpulan itu untuk menghasilkan album ke-15 tersebut.

“Ibu kami adalah insan yang paling gembira lihat KRU berkumpul semula untuk menghasilkan album Kaset.

“Ketika rakaman, kami buat di rumah adik sebab ibu bapa kami tinggal bersamanya. Tapi, ibu kami yang didapati sangat gembira dan Alhamdulillah, usaha ini berjaya juga dihasilkan,” katanya.

Tambah Norman, album yang memuatkan 10 lagu itu dihasilkan dalam format cakera padat (CD) dan kaset dalam kuantiti yang terhad buat peminat tegar mereka.

“Album Kaset ini sangat istimewa buat kami. Selain sudah lama tidak mengeluarkan album sejak tahun 2013, album ini mengembalikan semula nostalgia indah kami pada awal kemunculan di era 1990-an.

“Selain boleh distrim melalui platform digital, album Kaset ini juga dihasilkan dalam bentuk kaset dan CD. Untuk kaset, stoknya agak terhad kerana kami hanya mencetak sebanyak 300 unit. Manakala, untuk CD kami keluarkan lebih kurang 3,000 unit,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim itu pernah mengambil keputusan untuk bubar pada tahun 2018.

Namun, kemunculan album Kaset itu membuktikan mereka tidak kembali ke dalam industri seni tanah air dengan tangan kosong.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Kaset ialah Hambadansa, One More Time, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, High Maintenance, Ciptaan Sempurna dan Agung.

Bukan itu sahaja, KRU juga bakal menghiburkan peminat setia mereka pada konsert GenKRU selama tiga hari iaitu pada 3, 4 dan 10 Mei ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Malah, kumpulan yang menyanyikan lagi Fanatik itu juga akan melabuhkan tirai persembahan mereka di konsert GenKRU di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya