SUBANG JAYA: Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini yang rumah mereka terjejas akibat letupan paip gas pada 1 April lalu, ditimpa musibah pula apabila kediaman mereka dilanda banjir dan angin ribut awal pagi semalam.
Mangsa, Zainal Abiddin Aribbin, 55, berkata, barangan elektrik dan elektronik di rumahnya rosak akibat kejadian itu selain bumbung rumah serta siling hancur akibat tiupan angin kuat.
“Saya tertekan kerana keadaan hujan dan banjir menjadikan keadaan rumah kami sekeluarga menjadi lebih teruk dan menambah jumlah kerosakan dalam rumah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Tambah Zainal yang menyewa bersama isteri dan tiga orang anaknya, beliau masih mengharapkan bantuan daripada kerajaan bagi memudahkan urusan mangsa yang terjejas.
“Kami masih memerlukan bantuan tetapi mengutamakan pihak yang mengalami kerosakan penuh.
“Kami mengharapkan bantuan kewangan dan mengharapkan kenyataan daripada pihak berkuasa berkenaan penempatan sewa kami kerana masih tiada kata putus.
“Buat masa ini memang tiada perancangan untuk membaiki rumah,” katanya.
Sementara itu, Hasrina Nordin, 39, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan pakaian keluarganya sebelum kembali ke pusat pemindahan sementara di Masjid Putra Heights.
“Saya mendapat maklumat daripada ahli keluarga saya kawasan rumah saya terlibat dengan banjir.
“Selepas mendapat tahu, saya bergegas kembali ke rumah pada pagi tadi untuk mendapatkan pakaian,” katanya.
Hasrina yang menjalankan perniagaan menjahit pakaian turut memaklumkan dia mengalami kerugian hampir RM150,000 berikutan insiden letupan paip gas dan banjir.
“Mesin jahit saya juga ditimpa batu dan bumbung. Disebabkan kejadian ini saya tidak dapat rehat dengan tenang kerana memikirkan kerugian yang saya perlu tanggung selain penempatan selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Sabri Nordin, 48, berkata, kejadian banjir itu menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa mencari rumah sewa dengan harga yang tinggi selain menjejaskan urusan perniagaannya.
“Kami lima orang sekeluarga. Banjir ini sememangnya menambah lagi beban kami untuk uruskan tiga orang anak bersekolah dan perniagaan bengkel saya di sini.
“Buat masa sekarang, agak susah untuk mencari rumah sewa sebab pemilik rumah menaikkan harga dua kali lipat ganda melebihi daripada kemampuan kami yang mencecah RM2,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN










