KOTA BHARU: Hujan berterusan sejak dua hari lalu di negeri-negeri Pantai Timur bukan perkara luar jangkaan memandangkan ketika ini adalah dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, berikutan itu anggotanya sudah berada dalam keadaan siap siaga dengan kelengkapan logistik dan keanggotaan bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Katanya, pemantauan dari masa ke semasa sentiasa dilakukan berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Sekarang ini adalah tempoh peralihan monsun, kita tidak menolak keadaan cuaca semasa berpotensi membawa fenomena seperti banjir kilat atau pergerakan tanah serta cerun.
“Justeru, kita sentiasa bersedia dari segi logistik serta keanggotaan dan sekiranya perlu, cuti dibekukan serta merta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Farhan Sufyan berkata, selain banjir, keadaan cuaca ketika ini turut berisiko berlakunya kemalangan memandangkan keadaan jalan raya yang licin. – UTUSAN











