KUALA LUMPUR: “Saya tidak menafikan atau mengiyakan.”
Demikian respons penyanyi, Dayang Nurfaizah mengenai desas desus dia sedang mengenali seseorang dan bakal menamatkan zaman bujangnya.
Kekal merahsiakan mengenai hal tersebut, Dayang berharap agar peminat mendoakan yang terbaik untuknya.
“Ya, saya bahagia dan sangat bersyukur. Kalau ada berita baik, jangan risau, saya akan kongsikan.
“Perkara tak baik, diamkan sahajalah,” selorohnya.
Dayang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Meletop yang ditayangkan secara langsung di Astro Ria, semalam.
Pelantun lagu Selagi Masih Ada Cinta itu sebelum ini dikatakan intim dan sedang mengenali hati budi seorang penyanyi dan komposer popular tanah air.
Malah, sebelum ini Dayang pernah dirakam peminat ditemani penyanyi itu di beberapa majlis termasuk ketika menghadiri konsert seorang artis popular Indonesia di ibu kota sekitar tahun lalu.
Disoal mengenai perancangan untuk menamatkan zaman bujang, Dayang menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah S.W.T.
“Perempuan mana yang tak mahu berkahwin? Saya pun mengidamkan perkara yang sama.
“Cuma karier saya belum mengizinkan. Apa pun doakan saya untuk masa akan datang,” jelasnya. – UTUSAN










