Harga benih padi: KPKM keluar kenyataan dalam masa terdekat - Mohamad

Harga benih padi: KPKM keluar kenyataan dalam masa terdekat – Mohamad

MOHAMAD Sabu (tengah) menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang 2025, di sini hari ini. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan bersama pegawai kementerian berhubung isu harga benih padi yang dibangkitkan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

“Kita akan berbincang dengan pegawai kementerian berkenaan isu ini dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya ringkas ditemui selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang 2025 di Lembaga Pertubuhan Peladang, hari ini.

Beliau mengulas gesaan PeSAWAH yang mahu KPKM segera menurunkan harga benih padi bagi Musim 1/2025 susulan perubahan ketara harga pasaran padi semasa.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, harga kawalan benih padi iaitu RM58 bagi setiap beg seberat 20 kilogram ditetapkan pada Mac lalu ketika harga padi mencecah RM1,800 satu tan metrik.

Namun katanya, harga padi kini turun kepada sekitar RM1,500 satu tan metrik, menjadikan harga benih semasa tidak lagi munasabah.

“Alasan kenaikan harga benih sebelum ini adalah kerana mengikut harga belian padi. Maka, apabila harga padi menurun, harga benih juga wajar disemak dan diturunkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar harga benih padi diturunkan kepada RM35 bagi memastikan kebajikan pesawah tidak terjejas.

Menurutnya, kehidupan pesawah kini semakin terhimpit dengan pelbagai tekanan termasuk kenaikan kos sara hidup, penghapusan subsidi diesel dan peningkatan kos operasi pertanian secara keseluruhan.

“Penurunan harga benih adalah penting bukan sahaja untuk mengurangkan beban pesawah, malah sebagai sokongan terhadap kesinambungan pengeluaran makanan negara.

“Kami berharap Ketua Pengarah Bahagian Padi dan Beras mengambil tindakan segera demi menjamin kelangsungan sektor pertanian serta pendapatan dan kesejahteraan pesawah di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN