SERDANG: Rakyat dibenarkan untuk membeli beras putih tempatan (BPT) lebih daripada dua kampit, susulan bekalan makanan ruji itu semakin stabil ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu membuktikan keberhasilan pelbagai langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan sejak beberapa bulan lalu.
“BPT (sudah) boleh beli lebih daripada dua kampit, cuma tidak boleh lebih dari lima kampit sahaja,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan dan Majlis Rahmah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan 2025 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, sebanyak 3.16 juta kampit BPT 10 kilogram (kg) diedarkan melalui program khas ke seluruh negara sehingga pertengahan April lalu
Menurutnya, ia diedarkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi.
“Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Program Semarak Syawal 2025 yang berlangsung pada Mac lalu dianggap berjaya berikutan tiada kenaikan melampau harga barangan keperluan ketika musim perayaan.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada pengguna yang berpeluang mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri pada harga berpatutan, tetapi turut membantu meningkatkan pendapatan petani dan usahawan agromakanan menjelang perayaan.
“Program ini telah dilaksanakan di 262 lokasi seluruh negara termasuk pasar tani, pasar tani kekal, pusat transformasi luar bandar (RTC) serta Medan Niaga Satok di Sarawak dengan penglibatan seramai 9,005 usahawan tempatan,” jelasnya.
Tambahnya, nilai jualan yang dicatakan mencecah RM21.43 juta, sekali gus melepasi sasaran asal ditetapkan.
“Program Jualan Istimewa Semarak Syawal yang dilaksanakan secara serentak di 42 outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara pada 29 Mac lalu juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat,” ujarnya. – UTUSAN