SABAK BERNAM: Suasana sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang di sini gempar apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bermulanya sesi pembelajaran, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi itu berlaku ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur sedang menunggu kehadiran murid di taska tersebut.
Kesemua suspek dipercayai warga tempatan itu melarikan dua utas rantai emas dan sebuah telefon bimbit, selain turut menampar salah seorang daripada guru berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru yang memaklumkan disamun tiga lelaki menaiki kereta Perodua Bezza.
“Semua suspek bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam premis sebelum melarikan dua rantai emas dan telefon bimbit milik mangsa.
“Salah seorang suspek turut bertindak agresif dengan menampar seorang mangsa sebanyak dua kali di pipi kiri dan kanan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian terdapat dua guru, seorang pembantu dapur dan 10 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun di premis itu.
“Namun, tiada kanak-kanak yang cedera dan hanya melibatkan kerugian dialami dua guru taska berkenaan.
“Polis masih sedang mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambah Md. Yusof, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN