Gangguan bekalan air: Pemulihan 100 peratus dijangka pagi esok

Gangguan bekalan air: Pemulihan 100 peratus dijangka pagi esok

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika meninjau kerja-kerja pemasangan paip di Kampung Teluk berhampiran Sungai Prai, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) di Pulau Pinang yang bermula pada malam Jumaat lalu dijangka pulih sepenuhnya pagi esok.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, kerja-kerja pemasangan paip berkaitan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah berjaya disiapkan sepenuhnya tengah hari tadi.

Katanya, kerja-kerja tersebut yang sepatutnya siap lebih awal bagaimanapun terpaksa mengambil masa yang lebih lama disebabkan faktor air pasang besar sepanjang dua hari lalu selain cabaran yang dihadapi di lokasi yang terletak di tebing Sungai Prai itu.

“Sekarang, kerja-kerja pemasangan itu sudah pun disempurnakan dan pasukan PBAPP sedang menjalankan ujian termasuk melepaskan angin ke dalam sistem paip bagi memastikan kelancaran aliran apabila air mula disalurkan selepas ini.

“Pemulihan bekalan air untuk 88 peratus kawasan dijangka dibuat secara berperingkat bermula malam ini manakala pemulihan penuh 100 peratus disasarkan tercapai pada pukul 10 pagi, Isnin (esok),” katanya selepas meninjau kerja-kerja pemasangan paip di Kampung Teluk, Seberang Perai Tengah (SPT), hari ini.

Gangguan air yang bermula sejak pukul 10 malam Jumaat itu memberi kesan kepada 341,708 pengguna di negeri ini termasuk beberapa kawasan perindustrian susulan henti tugas separa di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow menasihatkan para pengguna yang telah mula menerima bekalan air supaya menggunakan kemudahan asas itu secara berhemah bagi membantu mempercepatkan pemulihan di kawasan-kawasan lain yang masih terkesan.

“Keutamaan (pemulihan bekalan air) kini diberikan kepada kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) dan Barat Daya yang berada di penghujung sistem agihan. Kebiasaannya, mereka ini (pengguna) akan menerima bekalan lebih lewat berbanding kawasan lain,” katanya.

Tambah Kon Yeow, pasukan PBAPP turut memantau kedudukan tangki-tangki air statik yang ditempatkan di beberapa lokasi terpilih dengan kerjasama wakil-wakil rakyat setempat bagi memastikan bekalan air sampai kepada kumpulan pengguna yang terjejas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya