Empat kali saya kena pukul dengan Zehra - Suami dakwa didera - Utusan Malaysia

Empat kali saya kena pukul dengan Zehra – Suami dakwa didera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BARU BANGI: Suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd Iqwan Samsudin mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dipukul sebanyak empat kali oleh isteri sepanjang tiga tahun berkahwin.

Jelas Iqwan yang juga bekerja sebagai pegawai penyiaran, pendedahan ini dilakukan bagi menafikan dakwaan Zehra kononnya dia melakukan penderaan menyebabkan berlakunya perceraian.

“Hasrat dia mahu jadikan saya duda nampaknya terpaksa ditangguh, saya yakin dia juga tidak sabar mahu jadi janda. Tapi alasan yang diberikan tidak munasabah. Ada dua alasan yang saya nak sebut iaitu pertama, saya menyebabkan emosinya terganggu dan alami tekanan.

“Sebagai suami, salahkah jika saya tegur dia menari terkinja-kinja ketika di program Gegar Vaganza. Adakah disebabkan itu emosinya terganggu? Yang kedua, dia kata saya culas dalam tanggungjawab melindunginya dari segi mental dan fizikal.

“Jika mahu bercakap mengenai fizikal, selama tiga tahun perkahwinan, saya sudah empat kali kena pukul dengan Zehra. Ini bukan fantasi nakal atau seks ganas. Ini saya betul-betul dipukul. Saya ada loporan polis dan laporan kesihatan.

“Dia cakap fasal pengabaian fizikal tapi sebenarnya saya yang dipukul. Tapi kenapa pula saya yang dituduh buat pengabaian fizikal?” katanya.

Iqwan ditemui Utusan Malaysia di sebutan pertama kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Iqwan menjelaskan punca keganasan berpunca daripada pelbagai sebab, namun Zehra didakwa baran dan sukar mengawal kemarahan.

“Masa separuh akhir program itu, saya kena pukul sebab ada peminat dia ‘like’ gambar saya. Namun Zehra menuduh saya ada skandal dengan wanita itu.

“Saya ada buat laporan polis ketika itu, tapi mereka beri saya dua pilihan sama ada mahu tahan Zehra atau selesaikan isu secara suami isteri.

“Jadi saya pilih selesaikan cara baik sebab enggan ganggu persembahannya. Tapi saya sudah laporkan keadaan saya kepada talian Nur.

“Sebelum itu, saya pernah kena pukul sebulan sebelum GV tapi saya tetap menyokong dan bawa dia ke sana sini. Kali pertama kena pukul saya tak ingat tapi kali kedua, saya dipukul sebab nak lindungi anak saya iaitu pada 11 Januari 2024,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat meminta Zehra dan suami untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada prosiding kedua 7 Mei depan.

Pada 7 Mac, Zehra memfailkan perceraian terhadap suami Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dengan lima tuntutan iaitu tiada persefahaman, silap suami, perkahwinan tidak boleh diselamatkan, pengabaian dan suami culas melaksanakan tanggungjawab.

Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Pada perkahwinan pertama, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017 dan berakhir enam bulan selepas itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN