Empat dekad ‘pentas’ kehidupan Jo Kukathas - Utusan Malaysia

Empat dekad ‘pentas’ kehidupan Jo Kukathas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JO Kukathas bukan nama asing dalam dunia teater tempatan bahkan penggiat pementasan berusia 62 tahun ini dipandang tinggi kerana pencapaian dan karyanya.

Empat dekad bergelar pelakon, penulis, pengarah dan aktivis teater, pelbagai kejayaan dalam dan luar negara telah diraih beliau sepanjang tempoh tersebut.

Pelbagai anugerah dan penghargaan diterima beliau sepanjang bergelar anak wayang. Antaranya dinobat pelakon terbaik, penulis skrip terbaik dalam Anugerah Seni Cameronian.

Namanya turut dikenali dalam kalangan penggiat teater Singapura apabila menjadi antara anak Malaysia yang menggondol banyak anugerah dalam Singapore Life! Theatre Award antara tahun 2011 hingga 2016.

Tentunya, segala pencapaian yang diraih beliau hari ini adalah hasil pengorbanan dan pembentukan jati diri sedari usia muda beliau.

Pengalaman hidup dalam keadaan serba kekurangan membentuk keperibadian dan sifat berdikari dalam diri pelakon berkaliber ini.

“Saya tidak membesar dalam keluarga senang. Selepas orang tua saya bercerai, wang menjadi masalah yang sering dirunsingkan. Jadi saya dilatih untuk bukan sahaja berdikari, malah membantu keluarga sejak saya berusia 21 tahun.

“Saya sudah melakukan pelbagai jenis pekerjaan pada usia itu. Pernah berkhidmat di bahagian pemasaran sebuah kelab malam, menjadi guru tuisyen, menjadi cikgu bahasa Inggeris semata-mata untuk mencari pendapatan bagi menampung kehidupan sekeluarga dan membayar sewa bulanan. Ibu saya pula sudah tidak mampu bekerja, jadi saya dan adik beradik lain menggalas tugas menyara keluarga.

“Hidup dulu mencabar. Kami terpaksa catu makanan, selalu makan roti yang dibakar sendiri oleh ibu saya untuk alas perut. Terpaksa menaiki tiga buah bas yang berlainan untuk pergi bekerja.

“Ibu saya mendidik kami agar tidak merungut kerana hidup miskin. Sebaliknya berusaha untuk meneruskan kehidupan. Pesanan itu saya pegang sampai sekarang,” kongsinya.

Kata Jo, beliau juga pernah mencuba nasib untuk mendapatkan pekerjaan di sebuah syarikat penerbitan akhbar tempatan.

Namun disebabkan beliau lemah berbahasa Melayu, hasrat itu lebur sekelip mata.

“Saya dipanggil untuk sesi temu duga dan diminta untuk menulis berita berdasarkan laporan mahkamah yang ditulis dalam bahasa Melayu.

“Saya ketika itu tidak fasih berbahasa Melayu. Ia kerana saya meninggalkan Malaysia pada usia tujuh tahun dan hanya kembali ketika usia 21 tahun.

“Jadi apabila diminta menulis berita berdasarkan laporan mahkamah itu, saya gagal kerana tidak boleh membaca dalam bahasa Melayu.

“Tapi kekecewaan itu tidak lama kerana selepas itu saya diterima menjadi guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di ibu negara,” ceritanya.

PENDEDAHAN AWAL DUNIA TEATER

BAKAT seni pementasan diwarisi Jo Kukhatas dari bapanya, K. Das, seorang penulis politik yang aktif dalam bidang teater.

Mendiang bapanya pernah berkhidmat sebagai pemberita di TV Malaya (RTM) selepas negara mengecapi kemerdekaan pada tahun 1957.

Ketika itu beliau juga aktif menyertai pementasan teater, menganggotai Kumpulan Kesenian dan Teater Malaysia bersama Tokoh Seniman, Syed Alwi Syed Hassan.

“Kumpulan itu ditadbir orang British ketika itu. Selepas negara kita merdeka, bapa saya dan Syed Alwi merasakan tidak relevan lagi untuk mereka mempromosikan naskhah pementasan barat. Justeru mereka meninggalkan kumpulan itu dan menubuhkan gerakan teater baharu.

“Kumpulan itu mahu mengangkat cerita-cerita tempatan, tidak lagi mementaskan karya Barat. Ayah saya dilantik sebagai bendahari hasil undian ahli.

“Syed Alwi ketika itu mengarahkan ayah saya untuk menulis untuk pementasan. Karya pementasan pertama ditulisnya adalah All The Perfume yang mana tajuknya merupakan salah satu petikan dialog dalam naskhah Macbeth.

“Ayah selalu bercerita tentang teater kepada anak-anaknya. Kami membesar dalam komuniti itu. Setiap terbiasa menunggu ayah saya pulang lewat selepas mengikuti latihan teaternya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, kongsi Jo, bapanya dilantik sebagai diplomat dan membawa keluarganya berkelana di luar negara selama beberapa tahun.

“Ketika itu saya berusia 7 tahun. Ayah saya ditugaskan untuk berkhidmat di Australia, Hong Kong dan India.

“Namun sepanjang tempoh itu, beliau tidak pernah melupakan minatnya terhadap teater.

“Malah mendiang menggalakkan saya berjinak-jinak dengan bidang itu. Hasil daripada galakkan itu maka saya menubuhkan kumpulan teater bersama saudara rapat saya.

“Kami akan mengadakan pementasan kecil kalau saya pulang ke tanah air. Penontonnya adalah dalam kalangan keluarga dan saudara mara kami juga,” kongsinya.

CAUGHT IN THE MIDDLE

CAUGHT In The Middle teater pertama dilakonkan Jo yang dipentaskan pada tahun 1985.

Penglibatan itu adalah selepas satu tahun beliau pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun berkelana di luar negara.

“Saya hadir uji bakat untuk teater itu tetapi gagal. Namun salah seorang tenaga produksinya menawarkan saya untuk berkhidmat di belakang tabir sebagai kru pembersihan.

“Namun selepas itu saya ditawarkan berlakon dalam pementasan itu bagi menggantikan seorang pelakon yang menarik diri di saat akhir.

“Saya tidak sangka dapat berkongsi pentas dengan aktivis teater Adibah Amin dan Rafique Rashid,” katanya.

JIT MURAD

Lakonan Jo Kukhatas dalam teater Caught In The Middle menarik perhatian arwah Jit Murad yang ketika itu sudah sinonim dengan pentas teater.

Kata Jo, momen perkenalan di sebuah sebuah restoran menjadi titik tolak persahabatan dengan arwah Jit.

“Ketika itu saya didatangi seorang lelaki yang melayangkan pujian terhadap persembahan saya dalam Caught In The Middle. Lelaki itu adalah Jit. Arwah memberitahu dia terhibur dengan persembahan saya. Itulah kali pertama kami berjumpa.

“Kejayaan Caught In The Middle membawa kepada pementasan keduanya. Namun kali ini, Jit dan Liza Othman menyertai barisan pelakonnya. Dari situ kami mula menjadi akrab,” ceritanya.

INSTANT CAFE

Jo Kukhatas dan Jit Murad, bersama pelakon Zahim Albakri menubuhkan The Instant Cafe Theatre Company pada 1989 atas nama persahabatan dengan harapan ketiga-tiga mereka dapat terus bekerjasama.

Pada masa sama, mereka juga berhasrat untuk mengetengahkan karya mereka sendiri antaranya yang bersifat satira politik (political satire) .

“Kami gunakan pementasan sebagai ruang untuk bersuara mengenai isu semasa. Antaranya mengenai Operasi Lalang yang dilancarkan pada tahun 1987.

“Kami agak kecewa kerana banyak akhbar ditutup, dan ramai yang ditahan, termasuk salah seorang sahabat kami sepanjang operasi itu dijalankan.

“Kami mahu suarakan pandangan mengenai operasi itu, dalam bentuk pementasan namun yang bersifat komedi dan buat penonton tertawa mengenainya,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya