ELMU meterai MoU strategik, perkukuh pembangunan bakat negara

ELMU meterai MoU strategik, perkukuh pembangunan bakat negara

Hairul Ridza (dua dari kiri) dan Khairiri A. Ghani (dua dari kanan) semasa menandatangani MoU baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Malaysian Institute for Risk and Resilience (MIRAR), serta perjanjian tiga pihak dengan Persatuan Hospitaliti Malaysia (MHA) dan DHS Hospitality Academy bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor risiko, tadbir urus dan hospitaliti negara, hari ini.

Kerjasama tersebut sebagai langkah proaktif dalam merangka latihan industri berimpak tinggi, sejajar dengan keperluan sektor awam dan swasta serta hala tuju pembangunan negara.

Menerusi MoU bersama MIRAR, ELMU akan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan latihan profesional, penyelidikan bersama, dan khidmat rundingan dalam bidang tadbir urus, risiko dan pematuhan (GRC) khususnya melibatkan sektor kewangan, teknologi, kesihatan dan perkhidmatan awam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Presiden Strategi dan Penyelidikan ELMU, Datuk Hairul Ridza Hayata berkata, kerjasama tersebut selari dengan misi ELMU untuk melahirkan tenaga profesional yang berpandangan jauh dan peka terhadap pengurusan risiko.

“Kerjasama ini selari dengan misi ELMU untuk melahirkan profesional yang sentiasa memandang jauh ke hadapan serta peka kepada risiko. Bersama MIRAR, kami berhasrat untuk memimpin usaha memperlengkap industri dengan ilmu Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan dan strategi ketahanan yang kritikal,” katanya ketika dalam majlis menandatangani MoU yang diadakan di kampus ELMU Bandar Enstek baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden MIRAR, Khairiri A. Ghani berkata, bahawa kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ketahanan negara menerusi penyelesaian praktikal yang berpaksikan piawaian.

“Dengan mengintegrasikan tadbir urus, risiko dan pematuhan ke dalam pembangunan kepimpinan, kami berhasrat untuk memperkasakan organisasi dalam menjangka, bertindak balas dan pulih daripada cabaran yang kompleks,” ujarnya.

Dalam pada itu, ELMU turut menandatangani MoU tiga pihak dengan MHA dan DHS Hospitality Academy bagi memperkasakan tenaga kerja dalam sektor hospitaliti negara melalui pembangunan terancang yang dipacu oleh industri.

Inisiatif ini merangkumi pembangunan modul-modul dalam pengurusan krisis hospitaliti, kesiapsiagaan bencana, Artificial intelligence (AI) dalam hospitaliti, pelaporan ESG, dan pembangunan kakitangan keselamatan yang direka khas untuk meningkatkan kesiapsiagaan industri terhadap cabaran masa kini dan masa depan.

Presiden MHA, Dr. S. Sri Kumar menyifatkan kerjasama itu sebagai pemangkin kepada perubahan struktur latihan hospitaliti yang lebih sistematik dan relevan dengan kehendak industri global.

“Dengan kerjasama erat ini, kita mampu menyediakan laluan kemahiran yang kukuh dan menyeluruh bagi menyokong industri pelancongan negara, termasuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Melalui kerjasama strategik ini, ELMU menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan penting dalam membina kapasiti tenaga kerja berkualiti tinggi.

Sokongan daripada institusi seperti MIRAR, MHA dan DHS Hospitality Academy mengukuhkan lagi kedudukan ELMU sebagai penyediaan program latihan dan pendidikan yang menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan pertumbuhan sektor utama negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya