KUALA LUMPUR: Isteri pelakon Edika Eusof, Nor Hidayah Yusri, mendakwa suaminya sebelum ini beberapa kali pernah melafazkan talak terhadapnya.
Namun, katanya, perkara itu dinafikan Edika apabila diminta hadir ke mahkamah untuk membuat pengesahan (lafaz talak).
“Sebenarnya, permohonan cerai ini bukan yang pertama difailkan. Saya sudah hadir ke mahkamah sebelum ini untuk pengesahan talak yang dilafazkan banyak kali oleh suami sebelum ini.
“Tapi Edika menafikannya dengan mengangkat sumpah laknat depan hakim pada Januari tahun ini.
“Jadi saya nekad untuk teruskan dengan proses cerai ini. Saya dah ajak Edika selesaikan cara baik, tapi dia yang mahukan panjang perkara ini.
“Apa pun saya tak ada masalah untuk kekal bekawan dengan dia selepas cerai nanti,” katanya yang ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi tadi.
Nor Hidayah yang ditemani anaknya, Fardeen Nasrulhaq, dan peguam, Mohd. Yazid Hazim hadir ke mahkamah tersebut bagi sebutan semula tuntutan cerai terhadap Edika.
Edika, susulan prosiding tersebut sedia melafazkan cerai di terhadap Nor Hidayah depan hakim di mahkamah sama pada 5 Mei ini, selepas isterinya berada dalam keadaan suci.
Sementara itu, anaknya, Fardeen, memaklumkan bersedia menerima perceraian ibu bapanya untuk kebaikan bersama.
“Selagi saya hidup, saya akan jaga ibu. Saya tak ada apa untuk diluahkan, perceraian ini adalah yang terbaik.
“Diharapkan perceraian ini akan mengurangkan tekanan ibu dan ayah saya.
“Saya sudah biasa jaga ibu, jadi tak ada beza pun selepas ini,” katanya. -UTUSAN