DUN Melaka zahir takziah, kenang jasa Tun Abdullah

DUN Melaka zahir takziah, kenang jasa Tun Abdullah

ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 14 April lalu.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, Tun Abdullah banyak menyelesaikan isu banjir di Melaka melalui projek menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Melaka Bandaraya Bersejarah Fasa II dengan peruntukan sebanyak RM80.96 juta.

Beliau berkata, Tun Abdullah turut meluluskan sebanyak RM90.4 juta untuk projek pengindahan dan pembersihan Sungai Melaka Parcel 1 Fasa 4.

“Sementara itu, sebanyak RM188.2 juta diluluskan bagi projek menaik taraf dan pemanjangan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam. Sebuah bangunan di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) telah diberi nama Kota Cemerlang berdasarkan slogan ikonik Allahyarham iaitu ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’.

“Saya mewakili dewan, kerajaan negeri dan rakyat Melaka dengan penuh rasa dukacita merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau ke rahmatullah pada 14 April lalu,” katanya dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Keempat DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

MOHD. ALI Mohd. Rustam (dua dari kanan) memeriksa kawalan kehormat istiadat sempena Pembukaan Sidang Pertama Penggal Keempat DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Hanya satu usul akan dibahaskan manakala 99 pertanyaan lisan dan 97 pertanyaan bertulis telah dikemukakan untuk dijawab pada Sidang DUN yang berlangsung selama tiga hari bermula 25, 28 dan 29 April ini.

Tambah Mohd. Ali, sekiranya Tun Abdullah berkunjung ke Melaka, beliau sering melalui laluan dari Bandar Alor Gajah ke Simpang Ampat untuk melihat gerai-gerai yang menjual barangan kraftangan di sepanjang laluan tersebut.

Menurutnya, Tun Abdullah bersama isteri, Tun Jeanne Abdullah dan keluarga sempat berkunjung dan melawat Melaka pada saat akhir hayat beliau.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar keluarga beliau diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya