DUN: Kedah masih teliti beberapa varieti untuk hasilkan benih padi sendiri

DUN: Kedah masih teliti beberapa varieti untuk hasilkan benih padi sendiri

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri masih di peringkat pemilihan jenis benih padi yang bersesuaian untuk digunakan oleh para pesawah di negeri ini.

Pengerusi Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa jenis benih yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding benih padi yang sedang digunakan di negara ini.

“Kita mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kajian Pertanian Organik Terpadu (PKPOT) di Malang, Indonesia baru-baru ini. Terdapat dua varieti yang akan dibuat kajian lebih mendalam iaitu HMS700 dan HMS70D untuk melihat kesesuaian ditanam di negeri ini.

“Pengeluaran benih padi yang baharu perlu diperkenalkan segera untuk memaksimumkan pengeluaran hasil padi di negeri ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Dzowahir (PN-Suka Menanti) menjawab pertanyaan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) tentang perkembangan pengeluaran benih padi di Kedah yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Pada November 2023, Kedah dilaporkan berhasrat menjadi negeri pengeluar benih padi sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan atau kelewatan benih padi yang sering membelenggu pesawah.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Agensi Nuklear Kebangsaan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengembangkan benih padi sedia ada kepada beberapa varieti yang baharu.

“Kajian itu akan dibuat di tapak benih padi seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang. Kawasan ini dikelola syarikat persendirian yang bekerjasama rapat dalam menjadikan kawasan itu sebagai tempat lahirnya benih padi pertama di negeri Kedah. 

“Pihak Malaysian NPK Fertilizer NAFAS juga membantu dalam penyaluran input tambahan pembaikan struktur tanah agar benih padi yang ditanam sesuai dan bermutu,” katanya.

Tambahnya, usaha lain dirancang kerajaan negeri untuk dijadikan tapak benih padi Kedah kelak adalah seperti usahasama bersama penduduk tempatan mengerjakan tanah-tanah terbiar di Tualang, Pokok Sena seluas 28.3 hektar, Kubang Sepat (288 hektar) dan Langkawi (28 hektar).

“Perbincangan bersama pengkaji benih padi tidak terhad dalam negara sahaja, pihak China Agriculture Technology Institute dari Chongqing, China juga menawarkan usahasama untuk membawa masuk varieti benih padi hybrid yang dikatakan dapat meningkatkan hasil padi sehingga 19 tan per hektar. 

“Banyak negara-negara pengeluar beras yang telah menggunapakai varieti benih padi hybrid ini, yang terbukti dapat meningkatkan hasil padi seperti India, Vietnam, Thailand dan Myanmar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya