ALOR SETAR: Kerajaan negeri menggunakan pendekatan yang lebih berhemah dan harmoni bagi menangani isu pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di beberapa daerah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam negeri, Wong Chia Zhen, sebarang pembinaan atau permohonan tapak RIBI perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti termaktub dalam undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, antara daerah yang mencatatkan jumlah permohonan RIBI tertinggi di Kedah adalah Daerah Kuala Muda dan Kulim.
“Terdapat beberapa buah RIBI di kedua-dua daerah ini yang dibina secara haram. Perkara ini sedang dipantau rapi dan usaha sedang dijalankan untuk menyelaras serta menyelesaikan isu berbangkit,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.
Ujar Chia Zhen, isu tersebut melibatkan sensitiviti kaum dan agama yang perlu ditangani secara berhati-hati selain tidak dijadikan modal politik pihak tertentu.
“Pendekatan kita, ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’. Kita tidak ambil tindakan keras secara langsung, sebaliknya beri ruang kepada rundingan dan penyelesaian secara baik dan teratur,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menjadi pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan, terutamanya membabitkan penglibatan persatuan penganut dan pemilik tanah.
“Saya akan terus pertahankan undang-undang sedia ada sambil memastikan kebajikan rakyat pelbagai kaum dan agama terus terpelihara,” katanya.
Tambah Chia Zhen, penekanan turut diberikan kepada pembinaan RIBI baharu yang perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan serta peraturan ditetapkan.
“Bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keharmonian sosial di negeri ini, sebanyak lima permohonan tapak tanah kerajaan untuk RIBI diluluskan. Ia melibatkan empat secara rizab dan satu secara pemberimilikan di Kuala Muda,” ujarnya.
Dalam isu Kuil Sri Veerama Kaliaman di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Tongkang Yard, beliau berkata, rumah ibadat itu akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai bagi menjamin keselesaan dan keselamatan selain memenuhi keperluan perancangan tanah yang lebih tersusun.
“Dalam Mesyuarat Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pada 13 April lalu, beberapa lokasi cadangan telah dikemukakan oleh jawatankuasa kuil dan kini dalam proses penilaian kesesuaian oleh pentadbir tanah Kota Setar.
“Saya akan menyelaras langkah-langkah pelaksanaan m berkaitan proses pemindahan ini. Segala usaha dilaksanakan secara inklusif dan penuh rasa hormat terhadap sensitiviti masyarakat setempat, selaras dengan hasrat m memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara di negeri ini,” katanya. – UTUSAN